Monday, May 5, 2008

Kehebatan wanita.....

Dunia tidak akan berputar lagi jika tiada perempuan atau tidak pernah diciptakan perempuan. Perempuan sejak penciptaan Hawa yang melahirkan manusia yang terus menyebut kalimah Allah di atas muka ini, setiap masa dan saat. Jika berhenti walau sesaat pengucapan kalimah Allah, nescaya kiamat dunia. Hebatnya dan tingginya peranan seorang perempuan.

Ini jenis manusia yang lahir dari tulang rusuk lelaki. Sama ada pati tulang rusuk atau tulang betul aku tidak pasti. Aku pernah mengira tulang rusuk lelaki kanan dan kiri, bilangannya sama. Jadi, mana datangnya dikatakan perempuan itu dari rusuk lelaki? Adakah itu hanya perumpamaan sahaja? Dikatakan orang, penciptaan dari tulang rusuk itu sebagai makna ia dekat di hati, bukan dari kepala untuk memijak atau dari kaki untuk dipijak.

Kuasa perempuan di atas muka bumi ini amat hebat. Walaupun kuasa itu tidak kelihatan tetapi ia terletak di belakang kekuasaan lelaki. Kuasa ini yang menyokong ‘kuasa’ lelaki tadi. Kita biasa didengarkan dengan sirah Rasullah s.a.w ketika Baginda menerima wahyu pertama dari Allah. Kisah Baginda s.a.w menghadapi cabaran hebat di awal dakwah Baginda dan bagaimana isteri Baginda, Siti Khadijah r.a terus berada dan menyokong sepenuh hati. Ini kisah yang wajib jadikan tauladan.

Tanggungjawab perempuan amat besar di atas muka bumi ini seperti mana lelaki. Walaupun dilihat hanya sokongan kepada lelaki tetapi tanpanya lelaki pasti tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang.

Pada perempuan yang solehah itu adanya ketenteraman bagi lelaki. Lelaki tidak mudah membicarakan segala masalah atau beban di kepala. Mereka lebih suka simpan sendiri.
Kawan-kawan aku yang berkahwin membenarkan perkara ini. Jika di pejabat, kepala mereka berserabut, tetapi apabila melihat wajah isteri dengan senyuman manis ketika sampai di rumah dan mendengar keletah anak-anak (jika ada), akan hilang semua beban tadi. Itu apa yang mereka khabarkan pada aku kerana aku belum punya pengalaman sebegitu. Hebatkan?

Akan tetapi, keadaan akan menjadi terbalik apabila isteri masam mencuka, menyerang tak tentu hala, menyoal bertubi-tubi dengan syak wasangka tidak mengira tempat. Banyak kisah berlaku di sekeliling kita berkenaan perkara ini. Rajin-rajinlah mendengar dan melihat. Tetapi jangan sesekali mengumpat akan keburukan seseorang kerana ia pasti akan berbalik kepada kita.

Perempuan memang memeningkan. Unpredictable. Ditakdirkan emosi perempuan memang begitu. Tidak ada mana-mana lelaki zaman ini yang boleh mengaku dia begitu memahami pasangannya. Kalau dia mengaku, maka aku yakin dia berbohong. Pasal aku juga mengalami masalah yang sama. Kadang-kadang memang tertekan kerana dengan tiada apa-apa sebab, haluan angin berubah.

Tetapi tanpa kehadiran seorang perempuan dalam kehidupan seorang lelaki, maka tidak lengkap dia sebagai seorang lelaki.

Perempuan memang mempunyai kuasa mistik yang sukar diterjemahkan.

Bagi aku, perempuan yang baik akan menjadi teman yang paling setia bagi pasangannya. Itu akan dibalas juga dengan kebaikan oleh pasangan perempuan tadi. Kita boleh melihatnya di mana-mana dan ini memang terbukti. Hanya lelaki bodoh yang meminggirkan perempuan yang terbukti setia kepadanya.

Kehebatan dan kasih sayang seorang perempuan kepada lelakinya, akan membawa lelaki itu ke arah kejayaan hidup pada masa-masa akan datang.

"Pada perempuan itu racun. Pada perempuan juga penawarnya."

1 comment:

Min-0 said...

"Unpredictable" and "mistik" are both understatements. (>_<)