Monday, September 24, 2007

Susah atau Miskin? Senang atau Kaya?

Susah atau Miskin? Senang atau Kaya?

Nah....mana satu pilihan kita? Nak susah ke nak miskin? Nak senang ke nak kaya? Dari segi bahasa mungkin sama tapi mungkin tidak pada istilah. Ramai orang mungkin nak senang, ada yang nak kaya. Aku yakin dan pasti tiada seorang pun yang akan memilih susah atau miskin. Di sini aku lebih maksudkan kaya dan senang materialistik (baca: duniawi).

Aku tidak bijak berbicara pasal duit atau kewangan tapi aku berminat pasal kewangan terutamanya berkaitan perancangan kewangan peribadi. Sering bertanya macam mana ada di antara kawan-kawan aku yang agak ’senang’ atau ’kaya’ dalam kehidupan ini dan ada di antara mereka yang hidup ’melarat’ macam aku ini.

George Bernard Shaw pernah berkata,”Kemiskinan (lack of money) membawa kepada kejahatan (evil).” Memang benar apa yang dikatakan. Malah, sebelum beliau mengucapkannya, Nabi Muhammad s.a.w sendiri bersabda,”Kemiskinan membawa kekufuran.” Baginda sendiri amat menyeru agar umat Baginda kaya-raya di dunia dan juga tidak sesekali melupakan akhirat. Tapi adakah kita sebagai Islam menyahut cabaran Baginda?

Aku lebih suka untuk kaya (baca: duit banyak!) dari senang. Kenapa? Pada fikiran aku, dengan kaya barulah datang senang. Dengan banyak duit, senang kita untuk menjalani kehidupan seharian. Kita boleh makan makanan yang baik dan berkhasiat, menyediakan keperluan asas terbaik buat diri sendiri dan keluarga. Malah kita mampu juga untuk membuat amal jariah pada masyarakat. Cuba bayangkan kehidupan ’melarat’, untuk mengeluarkan RM1.00 pun terfikir banyak kali akan kepatutan kita berbuat sedemikian.

Walau bagaimanapun, kita tidak akan senang atau kaya tanpa ilmu, perancangan atau pengetahuan yang jelas mengenai wang atau kewangan.

Pengurusan kewangan yang baik di kalangan umat Melayu/Islam perlu diserapkan sejak dari bangku sekolah lagi. Aku seorang Melayu dan aku sedikit sebanyak tahu akan ’perangai’ Melayu bila berduit. Tidak perlu aku huraikan dengan lebih panjang. Banyak contoh boleh dilihat ketika mana-mana orang kampung atau Felda menerima wang durian runtuh apabila tanah-tanah mereka dibeli dan dan dibangunkan.

Aku tidak diajar dengan sebaiknya berkenaan pengurusan kewangan. Aku hanya belajar dan tahu mengenainya ketika aku bekerja di satu pejabat kecil di sebuah negeri. Sahabat ini telah menyuruh aku agar membuka akaun ASB. Tujuannya (kata dia), supaya kita kaya selepas 30 tahun nanti. Nilai pertama pelaburan aku adalah RM100.00. Semangat begitu tinggi bernyala ketika itu tapi tidak hari ini. Semangat masih membara, tapi tidak lagi menyala.

Aku tidak mampu lagi menyimpan, kerana setiap sen aku terima akan dipastikan untuk membayar hutang. Orang muda berhutang? Ya, orang muda juga berhutang. Melayu kata,”Tak hutang tak merasa.” Tapi yang merana diri kita sendiri.
Aku sering membaca artikel-artikel berkaitan kewangan peribadi dan aku dikategorikan sebagai ’BAHAYA’. Cukuplah setakat itu aku terangkan. BAHAYA yang bagaimana tidak perlulah aku huraikan. Dengan keadaan sekarang, aku sering tertanya bila aku akan kaya dan senang?

Aku banyak belajar akan pengurusan kewangan apabila duduk di tempat gila ini. Malah, air muka aku berjaya memaparkan apa yang terbuku dan kerunsingan di dalam kepala minda aku. Aku sering berkira-kira hingga ke hari ini, betulkah pilihan aku dan adakah akan tercapai cita-cita aku?Apa yang aku rasa semakin sesak dari hari ke hari. Pening, runsing, resah, tidak fokus dan sebagainya. Walau bagaimanapun, aku masih bersyukur kerana orang yang lebih ’melarat’ dari aku.


Hipotesis 1 : Orang banyak hutang suka goyang kaki.
Hipotesis 2 : Aku suka goyang kaki.
Tesis : Aku banyak hutang..............


Selamat berpuasa dan Salam Aidilfitri.

No comments: