Friday, September 21, 2007

Pilihan kehidupan...

Aku nak merapu lagi hari setelah menyepi....

Di dalam hidup kita ni memang sentiasa diberi pilihan dan berhak memilih. Tetapi masih terdapat perkara yang kita tidak boleh memilih iaitu tauhid. Perkara yang menjadi pokok pangkal kepada mereka yang Islam.

Tapi aku tak ingin berbincang berkenaan ilmu tauhid yang cetek pengetahuan aku mengenainya. Aku lebih suka kepada sesuatu yang membincangkan pasal kehidupan. Kita bebas dan boleh memilih pasangan hidup yang sesuai, apa yang perlu dimakan hari ini, baju apa perlu dipakai, dengan siapa perlu kita berkawan, apa kemewahan yang perlu bagi kita? Nah...kan banyak pilihan. Cuba fikirkan kita memang tiada pilihan. Diciptakan dan dilahirkan tanpa kita boleh membuat pilihan.

Sepanjang aku bernafas di atas dunia ini, terlalu banyak perkara atau isu yang memerlukan aku membuat pilihan. Masih terdapat kesilapan di atas pemilihan itu, tanpa aku membuat perkiraan terlebih dahulu, meminta petunjuk dari Yang Maha Esa.

Ada pilihan yang pernah aku buat dahulu, menyesal pada hari ini. Tidak perlu aku huraikan apanya. Dalam masa aku berkira-kira hari ini, kenapa ia terjadi? Adakah aku terlalu mengikut rasa hati yang mungkin membawa mati? Bukan kerana pertimbangan akal yang waras?

Aku berada di dunia baru, tidak lagi seperti dahulu. Aku tidak mengah untuk mengejar masa, malah tidak langsung berkira masa yang berlalu itu. Malah aku berasa megah tapi mengah untuk mengisi masa itu. Ini pilihan yang aku buat walaupun aku ada pilihan lain waktu itu.

Hari ini, dengan semua pilihan yang aku buat, menjadikan, membentuk dan menunjukkan siapa aku. Keupayaan kita terserlah dengan apakah jalan keluar masalah yang kita pilih. Kepuasan akan kehidupan kita juga bergantung dengan semua pilihan yang kita buat.

Dalam waktu kebelakangan ini, aku mula faham akan maksud kehidupan cuma aku sedikit gila (sedikit?) dengan pilihan aku.

Dulu, aku sering mengatakan hanya orang gila yang akan membuat pilihan itu. Tetapi hari ini, aku salah seorang yang gila itu. Pilihan gila inilah yang membuatkan aku lebih menghargai kehidupan dan mengajar aku akan kehidupan. Memang sedikit menakutkan tapi itulah jalan yang aku pilih. Isunya, bagaimana aku perlu menghadapinya? Aku perlu melepasi semua masalah kerana inilah jalan yang aku pilih. Adakah aku akan berjaya?

Tanpa membuat pilihan, kita tidak akan lengkap sebagai manusia. Semua pilihan yang kita buat akan membentuk diri kita dan menunjukkan siapa kita. Hebat? Haprak? Pengecut? Betul atau salah pilihan kita adalah lumrah, tanpanya kita tidak akan mendapat pengajaran. Dengan pilihan-pilihan aku, terlalu banyak pegajaran yang aku dapat. Mahu yang baik atau buruk.

Asasnya, kita perlu berani, yakin, membuat perkiraan yang tepat dan bertawakal kepada Yang Maha Kuasa.

No comments: